Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hadir pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Dan Forum Intergriti Kementerian Pendidikan Malaysia di Auditorium Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM 11 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Kenyataan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengenai kos pembinaan sebuah bilik darjah berjumlah sehingga RM2.6 juta adalah tidak tepat.

Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya melaksanakan proses kerja sedia ada dalam membina dan akan mengikuti panduan yang telah ditetapkan.

“Dakwaan itu tidak tepat kerana isu yang kita nak pertekankan ialah proses kerja itu, ia ada proses kerja yang harus dilalui dan skop kerja, konsultan dan piawaian tertentu yang harus dicapai pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dalam meneruskan projek terbabit

“Jadi kenyataan itu tidak tepat dan kita ada penjelasan justifikasi di peringkat KPM,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis ikrar bebas rasuah dan forum integriti di KPM, di sini, hari ini.

Fadhlina menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Bee Yin ketika perbahasan Bajet 2023 yang mendakwa kos bagi membina satu bilik darjah sama seperti kos membina sebuah banglo.

“Dari maklumat yang diberikan oleh KPM, kos pembinaan untuk beberapa sekolah adalah Sekolah Kebangsaan Alam dua sebanyak 30 bilik darjah RM54 juta, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun Terengganu 24 bilik darjah RM55 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong Sibu Sarawak, 42 bilik darjah RM110 juta.

“Jika kita kira dari segi purata kos pembinaan satu bilik darjah adalah diantara RM1.8 juta hingga RM2.6 juta,” kata Ahli Parlimen Puchong itu di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette