Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman hadir pada pelancaran Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 11 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan dakwaan seorang pelancong wanita warga China bahawa beliau diperas ugut oleh anggota polis berhampiran bulatan Dato Onn, di sini, pada 2 April lalu.

Pembangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kertas siasatan itu kini sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

“Kita telah memanggil pemandu e-hailing serta penumpangnya warga tempatan yang merupakan kawan kepada wanita warga China itu dan keterangan kedua-dua saksi keenam dan ketujuh itu sudah dirakam.

“Kertas siasatan selesai dilengkapkan seterusnya sudah dirujuk kepada TPR semalam. Kita akan menunggu arahan lanjut pejabat TPR untuk tindakan seterusnya dalam kes ini,” katanya selepas melancarkan Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Ibu Pejabat Kontinjen, di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini seramai tujuh individu telah dirakam keterangan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Sementara itu, Yahaya berkata, wanita tersebut ktiada dalam negara. – Malaysiagazette