GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Sri Bahari di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
Insiden ini merupakan kejadian ketiga membabitkan kebakaran maut yang berlaku berturut-turut di negeri ini sejak Isnin lalu.
Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.11 pagi.
Kata beliau, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Bagan Jermal serta Lebuh Pantai dengan kekuatan 40 anggota digerakkan ke lokasi selepas panggilan itu.
“Sebaik tiba, kita dapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.
”Kebakaran dapat dikawal jam 4.43 pagi dan pemeriksaan lanjut dalam premis tersebut membawa kepada penemuan seorang lelaki di bahagian lantai bilik air,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Jamil, berdasarkan maklumat jiran rumah kedai itu disewa seorang lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menyimpan barang lusuh.
“Selain itu, semakan juga mendapati rumah kedai itu tidak dilengkapi bekalan elektrik dan kemungkinan penyewa menggunakan lilin sebagai sumber cahaya yang dipercayai menjadi punca kebakaran.
“Kita masih menunggu maklumat daripada pihak polis sama ada mangsa merupakan penyewa yang dimaksudkan jiran atau sebaliknya.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 7.06 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemui rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam.
Manakala semalam pula, seorang wanita OKU turut dilaporkan maut dalam kebakaran di Kampung Alma, Bukit Mertajam. – MalaysiaGazette