Laporan berkaitan tragedi itu setebal 21 halaman yang telah dinyahklasifikasi dan dikeluarkan hari ini

KUALA LUMPUR – Tiada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi pesawat Sabah Air terhempas yang telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens serta beberapa anggota Kabinet negeri itu pada 1976.

Laporan berkaitan tragedi itu setebal 21 halaman yang telah dinyahklasifikasi dan dikeluarkan hari ini merumuskan bahawa kemungkinan punca nahas adalah disebabkan oleh kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal yang mengakibatkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke hadapan manakala bahagian muncung pesawat terangkat ke atas apabila sayapnya melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

Menurut laporan itu, tiada bukti bahawa wujud kerosakan pada pesawat atau sistemnya sebelum nahas kerana ia telah diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan dan tiada bukti juga bahawa keadaan cuaca menyumbang kepada berlakunya tragedi tersebut.

“Pemuatan bagi penerbangan itu didapati tidak dilakukan dengan betul sehingga menyebabkan kedudukan graviti pesawat berada di luar had buritan sebagaimana yang telah ditetapkan.

“Pergerakan kolum kawalan ke hadapan adalah bagi menurunkan muncung pesawat atau menghalangnya daripada terangkat ke atas. Jika hentian hadapan dicapai ketika muncung pesawat terangkat ke atas maka sudah pasti berlaku hilang kawalan akibat ketiadaan kelajuan dan kestabilan di udara,” katanya.

Dalam tragedi itu, juga dikenali sebagai ‘Double Six,’ sebuah pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air yang membawa sekumpulan kenamaan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah pada 6 Jun 1976.

Laporan itu juga menyebut adalah jelas prosedur operasi yang dilakukan oleh juruterbang syarikat terbabit agak santai dan tidak mematuhi piawaian profesional.

“Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan iaitu borang muatan perlu disediakan sebelum setiap penerbangan dan satu salinan ditinggalkan. Ini tidak dilakukan bagi penerbangan itu dan sememangnya tidak jelas bahawa mana-mana juruterbang syarikat ini pernah berbuat demikian,” menurut laporan itu.

Pasukan penyiasat yang diketuai ketua pemeriksa Jabatan Penerbangan Awam Omar Saman turut mendapati bahawa tiada pelan penerbangan IFR (Instrument Flight Rules) dikemukakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Manual Operasi bagi penerbangan VVIP.

“Adalah jelas bahawa banyak prosedur yang disenaraikan dalam Manual Operasi telah dilakukan oleh juruterbang terbabit. Selain itu, entri Log Teknikal juga amat teruk sehingga menjadikan dokumen itu tidak bermakna,” katanya.

Menyentuh perihal juruterbang pula, laporan itu mendapati lelaki berusia 42 tahun berkenaan memiliki lesen bagi menerbangkan pesawat tersebut dan tiada bukti yang menunjukkan dia berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah kecuali mengambil ubat antimalaria dikenali sebagai klorokuin.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian itu.

Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk menyahklasifikasi laporan berhubung insiden itu.

Sebelas nyawa telah terkorban dalam tragedi itu termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah iaitu Fuad, Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah), Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Turut terkorban Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah), Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).

Tragedi itu turut meragut nyawa Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).- BERNAMA