ACP Amihizam Abdul Shukor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mati dan rakannya parah selepas terlibat  dalam  pergaduhan di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa  berusia 28 tahun yang merupakan warganegara tempatan bersama seorang lagi rakannya, 30 tahun diserang sekumpulan suspek ketika dalam perjalanan ke parkir keretanya di lorong belakang Jalan Telawi 3.

“Jam 1 pagi tadi, pengadu yang merupakan anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan IPD Brickfields, telah terima panggilan Mers 999. Si mati dan rakannya ke kawasan berkenaan untuk minum minuman keras.

“Setelah selesai minum dan dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, si mati dan rakannya telah terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan. Si mati telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Manakala, rakan si mati dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada dendam lama di antara suspek dan mangsa.

Ekoran kejadian berkenaan, polis menangkap sembilan lelaki yang terlibat dengan bergaduhan tersebut berumur di antara 24 hingga 30 tahun.

Amihizam berkata, tiga daripada suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala selebihnya akan dijadikan saksi pendakwaan.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat atau bersubahat dengan perbuatan jenayah.-MalaysiaGazette