Tok Beng Yeow

JOHOR BAHRU – Rangka mayat seorang wanita yang telah mereput dijumpai di dalam sebuah beg bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, bagasi itu ditemukan seorang lelaki yang kemudiannya melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis pada 1.50 tengah hari.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati rangka mayat itu sukar untuk dijustifikasi dari segi jantina, umur dan tempoh kematian, berikutan mayat telah mereput lebih 50 peratus berdasarkan pandangan mata kasar, selain terdapat ulat.

“Bagaimanapun, rangka mayat itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan HSA setakat 2.30 petang tadi mendapati, wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala.

Bagaimanapun, Tok berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-2850204. – Bernama