Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidilfitri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan luar biasa berlaku terutama di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

“Sebanyak 47 tempat yang kita jangkakan berlaku kesesakan dan hotspot untuk kemalangan kita ada 27 tempat yang telah dikenal pasti daripada kajian kita.

“Seramai 700 pegawai dan anggota trafik akan membuat pemantauan di jalan-jalan utama seluruh negeri, khususnya di lokasi titik panas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di laluan motosikal Plaza Tol Perling di sini malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, mayat wanita yang dijumpai mereput di dalam sebuah bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, Rabu lepas, dipercayai warga asing.

Kamarul Zaman berkata, ia kerana berdasarkan laporan hasil bedah siasat, tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) ditemukan pada mayat tersebut.

“Keputusan bedah siasat belum secara terperinci lagi, hanya kita tahu bahawa mayat tersebut tidak ada BCG, maknanya bukan warganegara. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Mayat itu seperti dipotong dan diletak ke dalam beg,” katanya sambil menambah bagasi tersebut berukuran 28 inci.

Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan wanita tidak beridentiti itu berpunca daripada dendam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow dilapor berkata, wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala. – Bernama