Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

BANGI – Pelopor kepada UNDI18, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, kerajaan tidak boleh mengambil sikap keterbelakang dengan menyekat mahasiswa untuk mengutarakan isu-isu semasa.

Jelas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, sekiranya kerajaan ingin melihat UNDI18 berjaya pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16) maka mahasiswa perlu dihidangkan dengan kebebasan untuk bersuara.

“Jika mahu UNDI18 itu berjaya, perlu ada mahasiswa yang cakna dengan isu-isu semasa dan kisahkan dengan masa depan negara.

“Jangan kita butakan mata dan bisukan mulut dan pekakkan telinga mereka kepada isu-isu negara,” katanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini malam tadi.

Turut hadir adalah Exco Dewan Pemuda Pas, Nazrul Nazir dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin.

Syed Saddiq berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mana kementerian itu tidak akan menghalang sesiapa memasuki institut-institut pengajian tinggi (IPT) termasuk ahli politik.

Bagaimanapun, Khaled berkata, pihak yang mahu mengadakan program perlu mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan universiti terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap agar KPT terus berpendirian untuk membenarkan program politik digerakkan di IPT untuk menarik minat mahasiswa terjun ke bidang politik.

“Saya faham kadangkala pendirian Kabinet dan kerajaan sudah ditetapkan tetapi di universiti masih terdapat keresahan dan kegagalan untuk melaksanakan prinsip yang telah dibincangkan.

“Saya berharap kita boleh ada lebih banyak forum sebegini dan rakan media dapat berikan liputan dan bagaimana pentadbiran UKM memberikan pentadbiran yang baik, progresif dan merupakan universiti pertama membawakan kerajaan dan pembangkang duduk bersama dan berdialog bersama-sama mahasiswa mengenai isu-isu semasa,” katanya lagi.

Untuk rekod, ini kali pertama Ahli Parlimen Muar itu dibenarkan untuk mengadakan siri jelajah di universiti awam.

Ia selepas beliau tidak dibenarkan mengadakan program dialog bersama-sama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Mac lalu.

Syed Saddiq ketika itu dijadualkan akan mengadakan Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diadakan di Dataran cendekiawan UiTM Shah Alam jam 10 malam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.