Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud diiringi Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Iftar Perkeso 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,13 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Insentif Kerjaya Madani 2023 sebagai simbolik pembukaan tirai pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan tahun ini dengan peruntukan sebanyak lebih RM313 juta.

Menerusi peruntukan berkenaan, sebanyak 10 inisiatif akan dijayakan oleh PERKESO demi mengukuhkan perlindungan keselamatan sosial dan memperkasakan pasaran buruh tempatan.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selaku penyedia perkhidmatan pekerjaan negara, PERKESO menerusi Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya akan menumpukan usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasaran.

“Menerusi Program Daya Kerjaya, majikan diberikan insentif kewangan dalam pengambilan pekerja dari kalangan belia lama menganggur, orang asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol dan bekas bantuan serta graduan TVET.

“Insentif kewangan akan diberikan kepada majikan bagi permohonan yang dilakukan mulai 1 April 2023 bagi pengambilan pekerja baru mulai 1 Januari lalu.

“Jumlah insentif sebanyak RM600 selama tiga bulan,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud ketika majlis Iftar PERKESO 2023.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud berucap pada Majlis Iftar Perkeso 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,13 APRIL 2023.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sivakumar berkata, Program Bina Kerjaya dilaksanakan untuk  meningkatkan potensi individu yang sedang bekeria di bawah sektor tidak formal bagi memperoleh pekerjaan dalam sektor formal.

Tambahnya, PERKESO akan mengadakan kempen bagi menggalakkan majikan memberikan perhatian dan keutamaan kepada pekerja tempatan dalam pengambilan pekerja baru menerusi  Daya Kerjaya dan Bina Kerjaya.

“Kementerian juga akan turut memfokuskan pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC di seluruh negara bagi membolehkan majikan dan pencari keria mendapatkan kemudahan akses pekerjaan dengan lebih cepat dan mudah,” jelas Sivakumar.

Pengerusi Lembaga (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal berucap pada Majlis Iftar Perkeso 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,13 APRIL 2023.

Sementara itu, Subahan berkata, PERKESO sentiasa cuba berusaha untuk membantu pekerja yang dilindungi menerusi faedah-faedah yang telah ditetapkan,  termasuklah di bawah Belanjawan 2023 atau menerusi rakan-rakan strategik Program Social Synergy.

Dalam majlis yang sama, PERKESO turut membayar faedah sebanyak lebih RM174,000 kepada seramai 11 orang penerima dari sekitar Lembah Klang semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud diiringi Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) menyampaikan Inesentif kewangan kepada penerima pada Majlis Iftar Perkeso 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,13 APRIL 2023.

Antara jumlah berkenaan, lima orang menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), juga lima orang penerima faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Manakala seorang lagi penerima faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Juga diraikan, seramai 90 anak yatim piatu dan 40 orang ibu tunggal.

Kesemuanya menerima pelbagai sumbangan dalam bentuk hamper, duit dan baju raya. -MalaysiaGazette