komputer riba MRSM
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk menukar komputer riba yang digunakan guru-guru serta kakitangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara secara berperingkat.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu dilaksanakan setelah beliau menerima aduan daripada para guru berhubung keadaan komputer riba yang rata-rata berusia hampir 10 tahun.

Beliau juga telah mendengar sendiri taklimat proses penukaran komputer riba daripada Bahagian Teknologi Maklumat MARA.

“Tentunya tanpa berkompromi dengan segala prosedur operasi standard (SOP), tata kelola dan tata cara perolehan dan aspek ketelusan.

“Moga dapat lebih memberikan semangat dan perangsang kepada para pendidik di 55 MRSM bagi meneruskan agenda transformasi anak bangsa, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. – MalaysiaGazette