Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada Forum AUKU ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2023.

BANGI – Parti Ikatan Demoktarik Malaysia (MUDA) menjelaskan masih tiada respon daripada Pakatan Harapan (PH) mengenai permohonan pihaknya untuk menyertai gabungan itu sehingga kini.

Justeru itu, presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa PH untuk menyelesaikan mengenai pemohonan partinya terlebih dahulu untuk menyertai gabungan tersebut sebelum membuat perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buat negeri dibuat.

“Isu asasnya adalah penyertaan MUDA dalam PH yang telah kita hantar sejak suku keempat tahun lepas, lama sebelum PRU15.

“Isu itu perlu diselesaikan dahulu kerana Muda telah memaklumkan niat kita dan apabila isu itu diselesaikan lebih murah rundingan dengan PH kerana kita sudah berada dalam gabungan itu,” katanya kepada media selepas menjadi ahli panel program AUKU: Apakah Pengakhirannya? di Auditorium Siswa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Turut hadir adalah Exco Dewan Pemuda Pas, Nazrul Nazir dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin.

Ditanya mengenai perbincangan peringkat parti, Syed Saddiq berkata, MUDA sudah mengadakan perbincangan terutamanya di negeri Selangor.

“MUDA memang telah adakan perbincangan dalam parti dan bila tiba masanya kita akan maklumkan mengenai pendirian kita.

“Tapi kita nak berikan ruang kepada kepimpinan PH dan Majlis Presiden untuk respon supaya kita dapat buat keputusan yang baik secara bersama untuk menjaga keharmonian kerajaan perpaduan,” jelas Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak dua kali berhubung isu penyertaan partinya dalam PH.

Anwar, kata Syed Saddiq bagaimanapun masih belum memutuskan dengan alasan ia akan diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim kata bahawa ia perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH dan kita nantikan keputusan PH,” katanya.

Mengulas lanjut, MUDA, jelas Syed Saddiq masih belum dipanggil untuk menyertai sebarang jawatankuasa dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“MUDA belum dipanggil lagi untuk sertai dan kita telah hantar empat surat kepada sahabat pimpinan PH dan kita tunggu respon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bodoh atau berpura-pura bodoh (c&p kata-kata MP PH terhadap Muhyidin Kes Hubungan Malaysia-China). Belajar tactics Wak President UMNO tu.. dia dah tua tapi lebih licin dari belut. Kecuali kau geli-geli pegang belut kau kena jadi burung KEDASIH. anaknya bukan KEJAM tapi LUMRAH KEJADIAN.

Comments are closed.