PUTRAJAYA – Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai festival Ramadan terbesar di sini malah berjaya menarik hampir 600,000 pengunjung sejak ia berlangsung 22 Mac lalu.
Penganjur yang juga Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd, Shahrul Musa berkata, apa yang membanggakan, jumlah pengunjung dicatatkan pada pertengahan Ramadan lalu walaupun pihaknya menetapkan sasaran 500,000 pengunjung selama sebulan festival itu berlangsung.
“FRP 2023 terus mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sejak bermula apabila pengunjung yang datang bukan sahaja dari kawasan sekitar malah dari luar Putrajaya.
“Pengunjung tidak putus-putus datang dari pelbagai kawasan lebih-lebih lagi di saat akhir bagi mendapatkan semua kelengkapan Hari Raya apatah lagi ia melibatkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terlibat ialah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis menyantuni 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi di mana pihaknya bekerjasama bersama dua vendor, Zareth Zehra dan Elrah bagi menyumbang baju Melayu dan baju kurung selain memberi duit raya kepada anak-anak itu dalam memberi kecerian kepada mereka menyambut Aidilfitri minggu depan.
Sementara itu, bermula Isnin lalu, FRP 2023 telah melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri nanti.
Waktu operasi baharu itu bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan hari raya pada saat-saat akhir.
Sebelum ini, waktu operasi festival yang bermula sehari sebelum Ramadan itu dibuka pukul 12.00 tengahari hingga pukul 12 tengah malam di mana lanjutan operasi itu memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.
Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi happy hour.
RP2023 bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya bagi menyemarakkan semangat Ramadan.Antara selebriti yang menyertai Festival ini termasuklah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle dan Elly Ariffin.
Turut terlibat seramai 48 usahawan dari Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dan 14 usahawan dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Pengunjung turut boleh mengambil bahagian di dalam cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal berharga RM10,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100 dalam satu resit. – MalaysiaGazette