Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang berada di Depot pada Program Singgah Sahur di Depot Imigresen Semenyih, Selangor. Foto MUHD NA’IM 15 APRIL 2023.

SEMENYIH – Satu kertas kerja akan dibentang Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada jemaah menteri mengenai cadangan membawa keluar kanak-kanak yang kini berada di dalam depoh tahanan imigresen.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN kini di peringkat akhir dalam mengumpul data-data mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak  di depoh tahanan untuk tujuan tersebut. 

“Buat masa ini, sejumlah 1,030 kanak-kanak ditempatkan di depoh tahanan dengan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan setakat 12 April lalu.

“Majoriti daripada mereka iaitu 679 kanak-kanak tidak ditemani seorang dewasa,” katanya dalam sidang media sempena program singgah sahur di Depoh Tahanan Semenyih pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Program Singgah Sahur di Depot Imigresen Semenyih, Selangor. Foto MUHD NA’IM 15 APRIL 2023.

Justeru itu, Saifuddin menyeru pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk  membantu usaha kerajaan dalam menegakkan hak kanak-kanak dalam tahanan Imigresen.

Malah dengan kerjasama mana-mana NGO, ia akan mempercepatkan pembebasan kanak-kanak dari 19 depoh di seluruh negara.

“Idea supaya kanak-kanak dibawa keluar dari tahanan, sama ada dengan kerjasama NGO, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau lain-lain, itu mesti diterima di pihak mereka.

“Ia tidak boleh menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata,” kata Saifuddin lagi.

Langkah itu difikirkan wajar bagi memastikan kanak-kanak yang dibawa keluar mempunyai akses khususnya kepada pendidikan.

“Sementara itu berlaku di sini kelas pelajaran untuk memberi asas kenal huruf, boleh membaca di mana cikgu-cikgunya adalah pegawai kita di sini setakat ajar ABC,” katanya lagi.

Dalam program sama, Saifudddin Nasution turut menyumbang pakaian hari raya kepada kanak-kanak tersebut untuk mereka sama-sama merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – MalaysiaGazette