Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meluahkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan yang menarik balik larangan ke atas penjualan mercun dan bunga api.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, keputusan tarik larangan itu secara tidak langsung membolehkan peniaga haram ‘menyamarkan’ mercun dan bunga api yang dilarang.

“Beberapa minggu kebelakangan ini banyak insiden yang berlaku berkaitan bahan api itu antaranya ialah jari seorang lelaki putus akibat bermain mercun.

“Jangan biarkan si kecil bermain mercun dan bunga api kerana ia boleh membunuh lebih ramai kanak-kanak malah ibu bapa perlu bertanggung jawab terhadap kecederaan anak-anak mereka.

“Ibu bapa kepada kanak-kanak yang bermain mercun dan bunga api mesti didakwa kerana membenarkan anak-anak mereka bermain dengan bahan api berbahaya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memperhebatkan tindakan tegas terhadap penyeludupan dan penjualan mercun dan bunga api di negara ini.

Jelas beliau, kerajaan juga digesa mematuhi Akta Bahan Letupan 1957 dan mengharamkan sepenuhnya mercun dan bunga api.

“Kita mahu penguatkuasaan yang ketat dan dengan kerjasama orang ramai supaya tidak membeli bahan berkenaan. Kami percaya jika penguatkuasaan dipertingkatkan, aktiviti penyeludupan dapat dibendung dan pengaliran keluar ringgit boleh disekat,” katanya.

Media pada Februari lalu melaporkan, Menteri Pembangunan Kerajaan tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan penjualan mercun dihalalkan sebagai langkah menghentikan aktiviti penyeludupan di negara ini.

Garis panduan itu akan ditentukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. CAP AYAM PUNYA CADANGAN. Biar mercun tu dijual. Buat RUU penjarakan ibubapa yang memberi kanak-kanak bermain.
    Penjaga yang cuai nak haramkan perniagaan pula. Sedangkan kanak-kanak dijentik pun ibubapa boleh didakwa penjara.

  2. kenapa nak haram bunga api dan mercun. kan bunga api dan mercun yang meriah kan suasana raya.aku dulu pun pernah main mercun dan bunga api tak ada pula cedera
    sekarang orang main bunga api dan mercun boleh cedera
    cuba tanya dia main macam mana sampai boleh cedera
    jualan bunga api dan mercun tak salah orang yang main dia entah macam macam mana sampai boleh cedera.ini pandangan aku lah selalu aku tengok orang bakar mercun masuk dalam longkang tong cat botol baling atas langit itu semua boleh datang kecederaan..

  3. Kalau boleh ikut macam Singapura, memang diharamkan pun mercun. Bunga api pun yang selamat sahaja.

Comments are closed.