Program Ramadan Madani: Titipan Kasih yang berlangsung di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia, Usanita Sdn. Bhd. (Usanita) menjayakan program Ramadan Madani: Titipan Kasih  di Masjid Jamek Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Lebih 1,200 sumbangan berbentuk barangan makanan dan juadah berbuka disumbangkan kepada golongan miskin bandar dan penduduk sekitar Kampung Baru.

Lebih meriah, program khidmat masyarakat (CSR) itu turut dijalankan bersama stesen radio Media Prima Audio, Buletin FM dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan berkata, sempena  Ramadan pihaknya terpanggil untuk membantu golongan miskin bandar dan asnaf.

“Kita memilih Kampung Baru kerana fokus kita adalah membantu golongan miskin bandar dan asnaf sebagai sebahagian program sumbangan sempena Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.

“Jadi tahun ini sejumlah 220 bakul makanan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, susu, garam dan gula disumbangkan bersama Parlimen Titiwangsa.

“Selain itu, kami juga telah menyediakan 1,000 juadah pek makanan untuk berbuka puasa kepada penduduk di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Ramadan Madani: Titipa Kasih turut menyaksikan kehadiran pengacara terkenal, Awal Ashaari dan selebriti, Zoey Rahman, selain penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan

Lebih meriah, program sumbangan yang bermula selepas selesai solat Asar itu turut menyaksikan kehadiran pengacara terkenal, Awal Ashaari dan selebriti, Zoey Rahman selain penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan yang bersama-sama mengagihkan bakul makanan dan pek iftar.

Dalam pada itu, Awal Ashaari ketika ditemui berasa seronok apabila dapat memberi keceriaan kepada penduduk sekitar Kampung Baru menerusi pengagihan pek iftar.

“Jarang untuk kita sebagai selebriti dapat peluang untuk turut bersama berganding bahu mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya melihat kolabrasi dengan pihak Usanita adalah inisiatif yang bagus untuk para selebriti turun padang bersama-sama berkongsi rezeki,” katanya.

Sementara itu, program sama anjuran Usanita akan memperluaskan sumbangan ini kepada golongan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.

“Semoga projek CSR ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan yang memerlukan, dengan hasrat kita untuk membantu dan berkongsi rezeki,” Adzliana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast