Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami aliran tinggi minggu depan, didorong keyakinan berkaitan berakhirnya kitaran kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berikutan tanda-tanda penurunan inflasi.

Ini susulan data Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih rendah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata di peringkat tempatan, jangkaan pasaran terhadap keuntungan korporat juga positif dan menyumbang kepada kemungkinan aliran meningkat minggu depan.

“Kami menjangkakan suasana pasaran kekal positif, susulan keredaan kebimbangan terhadap inflasi dan kadar faedah di samping pelabur bergantung kepada jangkaan keuntungan korporat yang kukuh untuk meningkatkan sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,430 hingga 1,445.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata jangkaan mengenai dasar monetari yang lebih longgar oleh Fed dalam beberapa bulan akan datang akan menggalakkan pengambilan risiko di peringkat global.

“Ini bermakna pelabur akan membeli saham di kebanyakan bidang kuasa seperti Asia, Eropah dan AS,” katanya.

IHP AS turun kepada lima peratus tahun ke tahun pada Mac 2023 daripada enam peratus pada Februari 2023 — berbanding jangkaan pasaran pada 5.2 peratus dan angka terendah yang dicatatkan sejak Mei 2021.

Sementara itu, data IHPR AS merosot kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada Mac 2023 daripada 4.9 peratus pada Februari 2023 — bacaan terendah sejak Januari 2021.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur dengan pasaran yang tidak menentu.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 8.09 mata untuk berakhir pada 1,435.13 daripada 1,427.04 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 90.47 mata kepada 10,568.91; Indeks FBMT 100 menambah 85.73 mata kepada 10,246.77 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 120.18 mata kepada 10,942.84.

Indeks FBM 70 melonjak 231.29 mata kepada 13,870.04 dan Indeks FBM ACE naik 41.50 mata kepada 5,368.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 32.93 mata kepada 15,734.20; Indeks Tenaga naik 14.28 mata kepada 877.79; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.90 mata kepada 175.65 dan Indeks Perladangan meningkat 119.46 mata kepada 6,851.13.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 14.79 bilion unit bernilai RM8.88 bilion daripada 13.18 bilion unit bernilai RM7.71 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 10.47 bilion saham bernilai RM7.60 bilion daripada 9.47 bilion saham bernilai RM6.67 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.41 bilion unit bernilai RM224.74 juta berbanding 960.12 juta unit bernilai RM155.86 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 3.32 bilion saham bernilai RM1.04 bilion daripada 2.73 bilion saham bernilai RM874.88 juta. – BERNAMA