KUALA LUMPUR – Presiden MCA Wee Ka Siong menampilkan bukti berhubung dakwaan beliau bahawa tiket penerbangan kelas ekonomi antara Kuala Lumpur dan Tawau berharga RM3,138.
Bukti dalam bentuk keratan layar aplikasi sebuah syarikat penerbangan itu dikemukanan selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan beliau.
Ka Siong yang merupakan bekas menteri pengangkutan menegaskan, beliau telah meminta tiga pembantunya untuk menyemak harga tambang berkenaan hari ini.
“YB Anthony Loke mendakwa bahawa saya tidak dapat membezakan kadar tambang kelas ekonomi dan perniagaan.
“YB Anthony, pada jam 3.35 pm hari ini 16 April 2023, saya minta tiga orang pembantu semak sekali lagi menggunakan aplikasi yang digunakan oleh beberapa orang pengadu dari Tawau semalam.
“Kesimpulannya, aplikasi tersebut masih menunjukkan harga tambang sehala dari KL ke Tawau adalah RM3,138,” katanya melalui Twitter.
Menurut Ka Siong, melalui bukti yang ditampilkan menunjukkan bahawa beliau hanya mengutarakan isu berdasarkan fakta.
Beliau menggesa supaya Anthony mengambil tindakan segera terhadap aplikasi berkenaan sekiranya harga yang dipaparkan tidak betul supaya tidak mendatangkan beban kepada pengguna.
“YB Anthony, saya bercakap berdasarkan fakta bukan auta. Kalau maklumat dalam aplikasi tidak tepat, sila ambil tindakan segera demi melindungi pengguna,” kata Ka Siong.
Artikel berkaitan: Sekarang bukan waktu pandemik tapi tambang ke Tawau RM3,138?
Harga tiket penerbangan ke Sabah ‘cekik darah’
Beliau sebelum itu mendakwa harga tiket kapal terbang MAS dari Kuala Lumpur ke Tawau mencecah RM3,138 pada 20 April lalu.
Anthony dalam kenyataan hari ini berkata, beliau telah menghubungi Group CEO Malaysia Airlines (MAB) dan mengesahkan harga tiket yang disebut oleh Ka Siong bukan untuk kelas ekonomi.
Sebaliknya ialah kelas perniagaan (Business Class) dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138.
Beliau turut mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah kelas perniagaan.
“Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin YB Wee faham perbezaan antara tiket Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi,” kata Loke pada satu kenyataan hari ini.
Pun begitu, Anthony berterima kasih kepada Ka Siong atas keprihatinannya terhadap harga tambang pesawat yang mahal serta kapasiti penerbangannya.
Menteri Pengangkutan itu berkata, dia akan mengadakan sidang media pada tengah hari esok bagi menangani penambahan penerbangan tambahan bagi musim Hari Raya tahun ini.-MalaysiaGazette
Harga tiket penerbangan RM3,138 ke Tawau bukan kelas ekonomi – Anthony