KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines telah mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan Kuala Lumpur-Tawau pada 20 April ini sudah habis dijual.
Yang ada hanya tempat duduk untuk kelas perniagaan, kata Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan itu menjawab kekecewaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong apabila mendapati tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini (20 April 2023) menjangkau RM3,138.
Bekas menteri pengangkutan itu menambah, syarikat penerbangan tidak mempunyai alasan untuk mengenakan tambang yang tinggi untuk perjalanan dalam negeri kerana negara tidak lagi berada dalam sekatan pergerakan akibat Covid-19.
“Saya telah menghubungi Group CEO Malaysia Airlines (MAB), Captain Izham dan mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah kelas perniagaan.
“Beliau juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan (BUSINESS CLASS) dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138,” tambah Anthony.
Jelasnya lagi, fakta ini yang perlu diperbetulkan apatah lagi sebagai mantan menteri pengangkutan, beliau yakin Ka Siong faham perbezaan antara tiket kelas perniagaan dan kelas ekonomi.
“Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti.
“Saya akan mengadakan sidang media khas pada pukul 12 pm esok di Kementerian Pengangkutan untuk memberikan fakta tambahan kapasiti penerbangan untuk musim Hari Raya tahun ini. Rakan-rakan media dijemput hadir untuk mendapatkan penerangan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Sekarang bukan waktu pandemik tapi tambang ke Tawau RM3,138?