Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki yang naik angin kerana ditegur lambat keluar dari bilik
air bertindak memaki hamun ibunya dan menyerang abang kandungnya dengan besi dan paip getah hingga cedera telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 pagi semalam di Taman Bukit Angkasa di sini.

“Akibat kejadian tersebut, adik kepada pengadu mula mengamuk dan memaki hamun ibunya sebelum pengadu cuba menegur sikap adiknya itu tetapi adik pengadu bertindak memukul pengadu dengan getah paip, pisau dan sebatang besi.

“Akibat insiden itu, pengadu luka dan lebam di bahagian belakang badan, bahu kanan dan tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek yang berusia 23 tahun mempunyai tiga rekod jenayah kesalahan lampau di bawah kes jenayah dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis merampasĀ  senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencederakan abangnya.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga 18 April ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja
menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.-MalaysiaGazette