Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Star Vendors Mega Raya Fest 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Sebaik tiba dari Terengganu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa mengunjungi  Setel Raya Bersama Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 di sini malam tadi.

Beliau tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pukul 11 malam diiringi Pengarah Urusan dan Pengasas Starvendors Event Sdn. Bhd., Datuk Ifa Raziah.

“Terima kasih kepada pengunjung kerana beri sokongan kepada vendor. Ramai tanya saya bila raya…Raya pada 1 Syawal…insya-Allah beberapa hari lagi puasa Ramadan akan selesai,” ucapnya di pentas Raya Fest Starvendors.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut meluangkan masa kira-kira satu jam meninjau beberapa reruai antaranya yang menjual biskut raya, songkok dan kedai emas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pengunjung selepas Perasmian Star Vendors Mega Raya Fest 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2023.

Jenama festival beli-belah terkenal, StarVendors tampil sekali lagi dengan pameran sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan penganjuran yang berlangsung selama 100 jam tanpa henti bermula 13 hingga 17 April ini.

Pernah mencipta rekod sebagai ‘Festival Raya Terpanjang Tanpa Henti’ di dalam The Malaysia Book of Records dengan pameran raya selama 75 jam pada edisi tahun lalu, StarVendors 2023 dijangka bakal memecahkan rekod Guinness World Records pula dengan penganjuran acara 100 jam tanpa henti.

Starvendors 2023 menampilkan lebih 600 tapak pameran terdiri daripada vendor yang menjual pelbagai produk daripada makanan, pakaian fesyen muslimah, hiasan rumah kosmetik dan banyak lagi produk persiapan raya.

Untuk rekod, tahun lalu Starvendors telah mengumpulkan lebih 350 usahawan dan 50 selebriti, dan menerima seramai 2.6 juta orang pengunjung.

Starvendors kali ini mensasarkan lebih tiga juta pengunjung menghadiri acara yang diadakan selama 100 jam itu pada edisi tahun 2023 ini. – MalaysiaGazette