Abdul Razak (kanan) mahu Bazar Ramadan atau Aidilfitri yang mencatatkan jutaan pengunjung dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, tahun hadapan.

MELAKA – Bazar Aidilfitiri atau Ramadan di negeri ini yang berjaya mencatatkan jutaan pengunjung akan dicadangkan untuk disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha itu wajar diangkat kerana penganjurannya sekali setahun sepanjang Ramadan turut menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Apa yang lebih menarik, penganjur bazar hari ini semakin kreatif mengadakan pelbagai program menarik kepada orang ramai bagi memastikan bazar mereka menjadi tumpuan ramai.

“Antaranya adalah seperti persembahan artis, program anak yatim, solat berjemaah dan menawarkan pelbagai hadiah cabutan nombor bertuah bernilai puluhan ribu ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Jalan Hang Tuah malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, usaha memasukkan bazar Ramadan dalam kalendar pelancongan juga diyakini dapat membantu mempromosi Tahun Melaka Melaka 2024 sekali gus mencapai sasaran 18.7 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

“Jadi sebagai Exco yang bertanggungjawab saya bawa cadangan ini kepada semua agensi berkaitan agar bazar Aidilfitri atau bazar Ramadan ini dapat dipromosikan lagi sebagai aktiviti penting dalam kalendar pelancongan negeri,” katanya.

Sementara itu, penganjur Melgrab, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, pada penganjuran kali ke dua tahun ini, bazar itu berjaya mencapai sasaran 1.5 juta pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM3 juta dalam tempoh tiga minggu.

“Angka ini berdasarkan perbelanjaan dalam resit kupon cabutan bertuah oleh pengunjung yang layak menyertainya jika berbelanja sekurang-kurangnya RM30 di bazar ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast