Mahadi (kanan) menyerahkan watikah tugas kepada Kamarulzaman pada Majlis Serah Terima Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di bangunan DBKL, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Kamarulzaman Mat Salleh hari ini memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.

Beliau diraikan oleh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam satu majlis yang diadakan di Dataran DBKL pukul 9 pagi tadi.

Bermula dengan upacara memeriksa perbarisan, majlis disusuli dengan acara serah tugas oleh Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang merupakan Datuk Bandar ke-13 pada Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ketika berucap dalam majlis Lambaian Kasih pada program yang sama, MahadiĀ  yakin Kamarulzaman mampu memacu pentadbiran dan tata kelola DBKL dengan baik bagi memastikan penduduk di wilayah itu terus memberi kepercayaan kepada PBT terus untuk mentadbir urus ibu negara Kuala Lumpur.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk
Kamarulzaman Mat Salleh di atas pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-14.

“Besar harapan saya agar DBKL boleh mencapai lebih banyak kejayaan dan menghasilkan kehidupan di Kuala Lumpur ini benar-benar sejahtera untuk semua, dengan kemasyhuran
ekonomi yang kukuh dan mantap,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Kamarulzaman ke jawatan itu bagi menggantikan Mahadi yang bersara pada 31 Mac lalu, selaras dengan subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Kamarulzaman, 59, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti Teknologi Malaysia, mula berkhidmat dengan DBKL pada 1991 dan berpengalaman selama 32 tahun dalam pengurusan bandar raya serta dasar perancangan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette