Lim Kit Siang Parlimen PRU-15 Najib
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan dakwaan beliau takut dengan Datuk Seri Najib Razak apabila tidak bersetuju dengan pandangan UMNO akan kembali gemilang sekiranya bekas perdana menteri itu diampunkan.

Sebaliknya, beliau mahu UMNO menjadi lebih kuat daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang juga percaya satu-satunya cara bagi UMNO kembali ke zaman kegemilangannya adalah dengan kembali ke prinsip dan dasar pembinaan bangsa yang asal seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Seperti yang diterima oleh tiga bekas Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, yang merangkumi mengembalikan kebebasan kehakiman dan memberi keutamaan terhadap usaha memerangi rasuah.

“Saya berharap pemimpin-pemimpin UMNO akan memikirkan persoalan ini kerana Malaysia telah tersasar daripada prinsip dan dasar pembinaan bangsa yang diiktiraf tiga bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO yang kedua, ketiga dan keempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP takut sekiranya Najib  dibebaskan melalui pengampunan diraja kerana bekas perdana menteri itu dianggap ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar.

Beliau berkata, DAP juga takut UMNO akan menjadi bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Kit Siang juga terkejut apabila melihat perubahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali memperjuangkan agenda Mahathirisme serta berharap bekas perdana menteri itu berubah serta mendukung semula Wawasan 2020 dan gagasan Bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette