Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Profesor Dr. Sabri Musa bergambar kenangan bersama para pelajar pada Program MAIWP Insani Rahmah Ramadan Jom Balik Raya di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2023.

KUALA LUMUR – Prihatin terhadap nasib pelajar yang kurang berkemampuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Jom Balik Raya’ pada tahun ini.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, ia adalah julung kali dianjurkan untuk pelajar univeriti pulang ke kampung bagi meraikan sambutan hari raya bersama keluarga mereka.

Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama empat buah insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang dengan melibatkan seramai 1,576 pelajar yang terpilih.

“Empat buah universiti yang bekerjasama baik dengan MAIWP untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang paling mendesak untuk dibantu meringankan bebanan balik ke kampung sempena hari yang mulia di awal Syawal.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah MAIWP memperuntukkan sebanyak RM440,000 untuk menampung perbelanjaan bas pergi dan balik. Kita juga beri sedikit duit raya iaitu RM160 kepada setiap pelajar yang terpilih.

“Dalam proram ini, MAIWP telah menyediakan sebanyak 45 buah bas ke arah utara, selatan dan Pantai Timur yang mana Universiti Malaysia melibatkan 15 buah bas dengan jumlah 500 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Jom Balik Raya’ di Univeristi Malaya  malam tadi.

Ia melibatkan sembilan bas dan satu van bagi 276 pelajar Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur;  Universiti Kebangsaan Malaysia (embilan bas, 320 pelajar) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (12 buah bas, 480 pelajar).

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar membuat gimik pelepasan Universiti Malaya untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya pada Program MAIWP Insani Rahmah Ramadan Jom Balik Raya di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2023.

Tambah Mohd Daud, penajaan program itu mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pihak univeristi dan merancang pada masa akan datang untuk membantu pelajar di Lembah Klang pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Kami agak teruja dengan reaksi yang baik dan saya juga berbincang dgn rakan strategik untuk mendapatkan respond yg baik. Ramai lagi mengharapkan mereka dibantu terutama pelajar yang pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Kita pun terlepas pandang kali ini, insya-Allah kita cuba baiki kelemahan kita, tahun hadapan kita akan fokus kepada yang jauh draipada kita dengan menyeberangi Laut China Selatan.

“Insya-Allah kita akan melihat bagaimana ia dijadikan sebagai program tahunan, ada bajet khas setiap tahun yang tidak perlu diminta, atau peruntukkan yang mungkin kita akan naikkan kepada RM1 juta setahun paling kurang,” ujarnya.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bercakap kepada media pada Program MAIWP Insani Rahmah Ramadan Jom Balik Raya di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2023.

Dalam pada itu, beliau menambah MAIWP bakal melancarkan bantuan sewa rumah kepada pelajar asnaf yang menyambung pengajian mereka di Lembah Klang.

Katanya, golongan bujang juga perlu dibantu selain daripada mereka yang berkeluarga kerana kebanyakkannya yang datang luar dari di Lembah Klang tidak berkemampuan untuk membayar sewa rumah yang semakin mahal.

“Kita telah menghubungi dengan bahagian hal ehwal pelajar dan minta mereka berikan data pelajar yang memerlukan sedikit bantuan untuk mereka dapatkan sewa rumah sebab mereka pun asnaf.

“Kita bantu keluarga yang asnaf dan pelajar yang asnaf. Tiada beza, ahli kelurga dengan bujang. Mereka juga perlukan tempat tinggal, tempat belajar, tidur dengan selesa dan sebagainya.

“Insya-Allah kita akan lancarkan dalam sebulan dua lagi, konsep membayar kos sewa rumah dalam kampus dan luar kampus,” jelasnya.

Mengenai jumlah peruntukkan agihan dana zakat pada tahun ini, Mohd Daud berkata, MAIWP sudah mengagihkan lebih RM76 juta kepada asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif sepanjang Ramadan.

Katanya, agihan dana zakat pada tahun ini adalah paling terbesar dalam sejarah berbanding tahun sebelumnya hanya RM35,767,800.

“Ia menjadi paling besar dalam sejarah kerana faktor ekonomi semakin teruk di Malaysia, inflasi agak luar biasa dan kebetulan buka sekolah pada bulan Mac, agak malang sedikit.

“Hari raya berlaku di permulaan cuti sekolah, itu faktor yang kami rasa menekan masyarakat dengan nak membeli baju sekolah dan dalam masa beli baju raya.

“Jadi kebetulan tahun ini, MAIWP merasakan kita perlu sumbang lebih kerana keadaan yang memerlukan untuk mereka yang terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette