tiket penerbangan MCA PRN
Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya campur tangan dalam isu harga tiket penerbangan ke Sabah yang didakwa naik mendadak menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, Anwar  seharusnya meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyiasat syarikat penerbangan terbabit.

“Amat malang perkara ini berlaku ketika musim perayaan malah ia turut mendedahkan kegagalan Menteri Pengangkutan membantunya menjayakan gagasan Malaysia Madaninya.

“Beliau bukan sahaja tidak mengendahkan masalah tiket penerbangan yang mahal malah mengabaikan rungutan tempat duduk kapal terbang yang tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai maklum balas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke terhadap isu yang dibangkitkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong semalam yang mendakwa hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.

Dalam sidang media hari ini, Anthony kesal terhadap dakwaan Ka Siong itu kerana ia boleh mengelirukan rakyat sedangkan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkenaan membuat semakan harga dengan menggunakan hanya satu aplikasi.

Teik Cheing yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang menyifatkan Anthony seolah-olah memandang enteng isu tersebut apabila memberi maklum balas sedemikian.

“Saya amat tidak berpuas hati serta kecewa dengan tuduhan Anthony terhadap Ka Siong serta kelewatan beliau yang hanya membuat respon pada keesokan hari melalui sidang akhbar.

“Setelah mendapat respon Anthony, Ka Siong dengan serta-merta menggunakan Super App AirAsia dan disiarkan bagi menyemak harga tiket penerbangan dari ibu kota ke Tawau pada hari yang sama dan keputusannya membuktikan sekali lagi ia memang RM3000 lebih seperti yang didakwa Ka Siong,” jelasnya.

Beliau menambah, rakyat Sabah dan Sarawak turut memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara justeru kerajaan perlu membantu mereka supaya dapat bersama keluarga ketika musim perayaan. – MalaysiaGazette