Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Panggilan tidak bersahut akhir membawa kepada penemuan seorang wanita warga emas dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya di Kampung Dagang Setia, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, semasa kejadian pukul 4.59 petang itu, rumah mangsa telah didatangi adik iparnya.

“Adik ipar mangsa telah memanggil wanita warga emas itu berulang kali namun panggilannya tidak dibalas sebelum pemeriksaan di dalam rumah mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedar diri dalam bilik tidurnya.

“Adik ipar mangsa kemudian segera menghubungi pihak hospital memaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Ahmad Faizal, mangsa yang berumur 60 tahun itu disahkan telah meninggal dunia dan hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

“Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan oleh polis dan kes buat masa ini telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut,” tegasnya.- MalaysiaGazette