KUANTAN – Bayaran Bantuan Khas Aidilfitri bagi pesara kerajaan Negeri Pahang akan dibuat secara berperingkat sebelum berakhir Syawal.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, bantuan tersebut akan dikreditkan terus kepada pemilik akaun penerima menerusi pembayaran melalui perbankan elektronik (EFT) secara berperingkat.
Pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai sesi pemberian Bantuan Khas Aidilfitri kategori pesara kerajaan negeri.
“Sebagai makluman, perkara tersebut adalah antara perancangan awal Kerajaan Negeri Pahang dalam menjalankan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.
“Namun mengambil kira faktor logistik, keselesaan dan kemudahan para pesara, kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk membuat pembayaran secara pemindahan ke dalam akaun pesara yang layak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri telah mengumumkan seramai 4,500 pesara kerajaan akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri wang tunai sebanyak RM200 pada awal April lalu. – MalaysiaGazette