Gambar hiasan

MANJUNG – Polis menahan ibu kandung dan dua bapa tiri kepada seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol dan dera  di sini semalam.

Tragedi hitam yang menimpa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu terbongkar selepas ditemui seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan Batu 7, Segari di sini pukul 11.50 pagi semalam sebelum membawanya ke balai polis berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, susulan itu, pihaknya menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung bagi rawatan lanjut.

Mohd Yusri Hassan Basri.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan kanak-kanak perempuan itu merupakan mangsa rogol dan dera.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baru.

“Sejurus itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menahan ketiga-tiga suspek yang mempunyai pertalian dengan mangsa di pekarangan balai pada jam 9.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, mereka yang ditahan terdiri daripada ibu mangsa berusia 29 tahun, bapa tiri pertama, 40, dan bapa tiri kedua berusia 26 tahun.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman bermula hari ini sehingga 23 April bagi siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – MalaysiaGazette