Loke mengedarkan pek Hari Raya Aidilfitri kepada penumpang-penumpang di Stesen KL Sentral di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang menjalankan kerja-kerja penurapan di sepanjang lebuh raya di seluruh negara pada masa sekarang disaran supaya menjadualkan semula projek tersebut.

Ia bertujuan bagi mengelak kesesakan luar jangka terutama ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari lagi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja penurapan jalan itu namun maklum balas orang ramai terhadap perkara tersebut telah dipanjangkan kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR)

“Saya tahu ada tular video ada lebuh raya yang meletakkan kon untuk projek turapan dan sebagainya dan video tersebut minta perhatian daripada saya.

“Memang saya telah minta KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pengangkutan untuk berhubung dengan KSU Kementerian Kerja Raya untuk menyampaikan maklum balas ini.

“Memang kita bersetuju bahawa untuk musim-musim perayaan ini di mana kenderaan akan meningkat dengan banyak, maka kerja-kerja penurapan sepatutnya ditangguhkan dan dijadualkan pada waktu bukan puncak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan pek Hari Raya Aidilfitri kepada penumpang-penumpang di Stesen KL Sentral di sini hari ini.

Beliau diminta memberikan respon berhubung rakaman yang tular sejak semalam apabila pengguna yang melalui lebuh raya Pantai Timur merungut ekoran terpaksa berbaris panjang disebabkan terdapat kerja-kerja penurapan jalan di lebuh raya berkenaan.

Keadaan tersebut telah menimbulkan kemarahan pengguna yang rata-rata menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal.

Malah ada juga pengguna yang memaki hamun dengan menyalahkan pihak konsesi lebuh raya kerana tidak bijak menggunakan waktu untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf dengan jalan tanpa memikirkan kesibukan orang ramai untuk bergerak terutama ketika hampir musim perayaan. – MalaysiaGazette