Wan Hassan Wan Ahmad

KULIM – Seorang lelaki yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau ditahan susulan cuba membunuh selain menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dalam kejadian di sekitar empangan Mengkuang, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Kulim terserempak sebuah kereta jenis Honda Civic dengan nombor pendaftaran Thailand di Kampung Pondok Labu, di sini, pada jam 3 petang.

Jelas beliau, semasa anggota mahu melakukan pemeriksaan pemandu kereta bertindak melarikan diri dengan cara cuba merempuh anggota di lokasi.

“Bagi mempertahankan diri anggota melepaskan tembakan dan terkena pada tayar hadapan namun suspek memecut laju sehingga ke kawasan empangan Mengkuang dalam daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

“Susulan itu, seorang suspek meloloskan diri manakala seorang lagi berusia 36 tahun ditahan dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu bungkusan dadah jenis syabu dalam milikan suspek berkenaan.

“Selain itu, semakan juga mendapati suspek yang ditahan itu mempunyai 24 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh, 186 akta sama kerana menghalang penjawat awam serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan rakan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan,” kata Wan Hassan. – MalaysiaGazette