Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan Kedah berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), kata Menterinya, Anthony Loke Siew.

Beliau berkata, pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga belum dirancang setakat ini berikutan tiada permintaan untuk berbuat demikian daripada kerajaan negeri itu.

“Setakat ini tidak ada apa-apa permohonan atau permintaan daripada pihak sana (kerajaan Kedah).

“Kalau ada sudah tentu kita akan teliti, tetapi tidak ada. Tidak ada apa-apa perkembangan dari Menteri Besar berkaitan cadangan pembinaan KXP yang menjadi sebahagian pembangunan Projek Kedah Aerotropolis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam E-Hailing di sini, hari ini.

Kira-kira 300 pemandu e-hailing menerima lesen PSV masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, kerajaan negeri itu belum memohon lesen operator aerodrome (AOL), tetapi memohon untuk kelulusan membina KXP.

Beliau mendakwa, pada peringkat perancangan pembangunan lapangan terbang itu, permohonan untuk mendapatkan AOL tidak perlu.

Menurut Anthony, tidak timbul soal Kerajaan Persekutuan menolak pembangunan itu kerana kerajaan negeri masih dingin untuk membuat permohonan secara rasmi.

KXP adalah komponen projek mega Kedah Aerotropolis berimpak tinggi yang dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Apa yang diperlukan kerajaan negeri ialah kerjasama daripada agensi Kerajaan Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan berkaitan bidang kuasa seperti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan. – MalaysiaGazette