Ir.Izham Hashim

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat menggunakan air sepanjang musim panas ini, walaupun paras di beberapa empangan dan sungai di negeri ini masih terkawal.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, mengikut rekod, penggunaan air bagi setiap rakyat Selangor sebanyak 220 liter sehari.

Ini katanya, melebihi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa setiap rakyat hanya perlu menggunakan 170 liter sehari.

“Sungguhpun keadaan bekalan air di empangan dan sungai Selangor terkawal dan mencukupi, kita menggalakkan rakyat supaya berjimat cermat menggunakan sumber air.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan di semua empangan, kolam tadahan dan sungai di negeri ini serta dengan jumlah hujan yang diterima, ia mencukupi setakat ini,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cuaca panas yang melanda semua negeri di Malaysia dijangka berterusan sehingga Ogos ini berikutan musim peralihan monsun.

Menurut Izham, setakat ini tidak timbul masalah bekalan air di Selangor kerana ia diurus dengan baik termasuk memastikan semua empangan dan simpanan air di luar sungai sentiasa terkawal.

Ditanya mengenai bekalan air pada musim Hari Raya Aidilfitri ini, beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan memastikan masalah itu tidak berlaku.

Katanya, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan menempatkan kakitangannya di lapangan bagi mengawasi keadaan.

Beliau memberi jaminan semuanya berjalan lancar dan rakyat boleh beraya dengan baik. – MalaysiaGazette