Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri hari ini mengumumkan tol percuma Rahmah kepada semua kelas kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengguna lebuh raya akan menikmati tol percuma di seluruh negara  bermula 19  hingga 21 April ini.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan tol rahmah percuma selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya,” katanya pada  sidang media di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Malah tol percuma itu juga berkuatkuasa pada 24 April (Isnin).

“Tol percuma ini akan melibatkan 33 buah lebuh raya bagi semua kelas kenderaan, ikhtiar ini dapat mengurangkan kos tol rakyat dan mempermudahkan rancangan perjalanan,” ujarnya.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya).

“Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023,” jelasnya.

Polis akan melancarkan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan dan Op Selamat 20 bermula 20 April ini untuk tempoh tujuh hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas mengenai pengumuman perayaan Aidilfitri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2023.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang
Dinanti).

“Ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan,” jelas Anwar.

Pelepasan itu melibatkan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Anwar turut mengumumkan diskaun khas kepada pengusaha Menu Rahmah.

“Bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu Rahmah, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, perincian diskaun tersebut akan diperincikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPND). – MalaysiaGazette