Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan tempoh bagi permohonan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dipercepatkan dalam masa seminggu.

Menterinya, Anthony Loke Siew berkata, sebelum ini pemandu e-hailing yang memohon lesen itu perlu menunggu dua hingga tiga bulan untuk mendapatkannya secara ujian teori.

“Mulai minggu ini proses kelulusan lesen itu hanya mengambil masa kira-kira satu minggu, sekali gus melegakan semua pemandu e-hailing yang membuat permohonan.

“Kecepatan tempoh ini dibuat selepas kita memansuhkan ujian teori PSV berkuatkuasa minggu lalu,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan lesen PSV e-Hailing Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAT), di sini, hari ini.

Loke berkata, mengikut rekod syarikat pengendali perniagaan pengantaraan, sebelum ini lebih 2,000 permohonan diproses bagi mendapatkan lesen PSV tertangguh melibatkan kawasan Lembah Klang.

Bagaimanapun, katanya, hasil kerjasama itu, pihaknya dapat menyelesaikan kes tertangguh itu sejak tiga bulan lalu.

Ujar beliau, sebelum kaedah baharu diperkenalkan, proses meluluskan lesen itu hanya 200 hingga 300 permohonan seminggu.

“Namun, dengan kaedah ini kita menjangkakan masalah permohonan tertunggak dapat diselesaikan selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast