KUALA LUMPUR – Kepada peminat filem Melayu genre komedi seram, bersedialah dengan hasil garapan terbaru Datuk Dr. A. Razak Mohaideen pada Hari Raya Aidiltri ini, ‘Sumpahan Malam Raya’ bakal ditayangkan pada 22 April ini.
Ia merupakan filem Melayu oleh produksi, Veedu Production yang diterajui pasangan suami isteri, Denes Kumara dan TS Dr Vimala dengan kolaborasi MGE Production.
Denes berkata, filem ini akan memberi mood raya kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Corong radio mahupun media sosial dan tradisional pastinya penuh dengan lagu, iklan serta pelbagai rancangan berkonsepkan raya. Jadinya kita juga mahu tampil dengan sesuatu yang bukan sahaja seiringan dengan itu sebaliknya mengadunkan ia dengan genre diminati umum, cerita seram dan komedi.
“Itulah kewujudan Sumpahan Malam Raya hasil kreativiti Datuk Dr A. Razak Mohaideen. Beliau juga bukan calang-calang pengarah yang sudah mengarahkan 47 buah filem dengan antara yang boleh dikatakan ‘pioneer’ bila filem berkonsepkan raya.
“Untuk makluman semua, Sumpahan Malam Raya yang telah mula menjalani penggambaran sejak Ogos tahun lepas di sekitar Pulau Carey dan Puncak Alam juga telah menjalin hubungan antarabangsa dengan proses adunan muzik dan bunyi serta foley di Chennai India, studio yang dimiliki oleh komposer muzik terkenal dunia, AR Rahman.
“Filem ini disajikan dengan kesan bunyi Dolby 5.1 audio visual yang kita usahakan semata-mata untuk kepuasan penonton ketika menontonnya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya di GSC Nu Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Denes berkata, filem ini juga menggabungkan beberapa pelawak popular masa kini, (Atu Zero & Danial Zaini) dan digabungkan dengan para pelawak veteran seperti Saiful Apek, Yassin Senario dan Ropie.
“Kita ada banyak lagi pelakon muda dan veteran dalam filem, pastinya setiap watak yang dibawakan itu akan menggamit pelbagai memori. Kita juga telah memuatkan satu runut lagu raya yang berjudul Jom Beraya nyanyian Atu dan Danial yang kini jadi ikutan,” ujarnya.
Selain Atu dan Danial, Sumpahan Malam Raya juga akan membariskan pelakon iVanidah Imran, Reen Rahim, Nora Danish, Datuk Yusry Abd Halim, Ropie, Saiful Apek, Yassin Yahya, Rita Rudaini, Soo Wincci, Bell Ngasri, Aidilia Hilda, Erin CTJ, Megat Terawis, Khairul Marksnann dan Fye Ramli.
Filem ini mengisahkan Syawal, Tania, Adam dan Misha yang mengusahakan sebuah inap desa berhantu dengan pelbagai kejadian pelik berlaku menjelang hari raya dan mereka cuba merungkaikan misteri tersebut satu persatu. – MalaysiaGazette