Pelakon, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, hadir bagi proses lafaz cerai dengan suaminya Syamsul Yusof ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Lafaz cerai pengarah sensasi, Syamsul Yusof dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana tidak berjaya hari ini kerana terdapat kecacatan pada laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) sebelum ini.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah berkata, prosiding akan diteruskan dengan laporan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 25 Mei ini.

Pada masa sama, Puteri Sarah, 38, tidak bersetuju dengan keputusan Syamsul yang meminta diskaun hingga 30 peratus ke atas tuntutan nafkah anak-anak, diskaun tuntutan nafkah mutaah selain mengugurkan kes saman ke atas keluarga madunya, Ira Kazar.

“Saya akan berjuang demi anak-anak walaupun kes ini mengambil masa panjang.

“Syamsul yang letak jumlah tuntutan nafkah anak-anak tapi hari ini meminta diskaun hingga 30 peratus.

“Manakala untuk nafkah mutaah, apa yang saya minta tidak sampai RM1 juta dan dia mampu pun.

“Dan untuk suruh saya gugur kes saman sivil ke atas keluarga Kazar, itu memang saya tidak akan buat sebab kes itu dan kes cerai adalah isu berbeza,” katanya Puteri Sarah, 38, yang ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

Bagaimanapun, terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – MalaysiaGazette