Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan penguatkuasaan di 23 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri itu sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2023 (OPS HRA) yang bermula semalam.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Kuala Lumpur – Ipoh, Jalan Meru, Lebuhraya ELITE dan di kilometer sembilan hingga 16 di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan yang bermula semalam hingga 27 April, melibatkan 325 anggota JPJ yang memfokuskan sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi peraturan lalu lintas, memandu melebihi had laju, mengguna telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan dan membawa lebih had muatan.

“Baru-baru ini juga pihak kami telah mengadakan Pra Ops HRA melibatkan dua pemeriksaan bas di depoh Sani Express Klang Sentral dan depoh Konsortium Transnasional Bhd bagi memastikan pengusaha bas mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan supaya perjalanan ke destinasi sentiasa selamat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops HRA di Terminal 17, Seksyen 17, di sini hari ini.

Selain itu, Kamarunzaman berkata pada Ops kali ini juga pihaknya akan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal, antaranya yang berkaitan dengan lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan teknikal.

Menurutnya orang awam boleh membuat sebarang aduan berkaitan dengan menghubungi JPJ Selangor dengan menelefon 03-55669442 atau emel [email protected]. – BERNAMA