Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan warga kota yang ingin pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri semasa hadir mengadakan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah meluluskan sebanyak 256 bas tambahan melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) perayaan bagi menampung permintaan tiket balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira 1.5 kali ganda berbanding tahun lalu, yang mana sebanyak 98 bas tambahan telah diluluskan oleh APAD.

“Ini menunjukkan terdapat peningkatan permintaan dari pengguna sekali gus mencerminkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara khususnya dalam sektor pengangkutan awam selepas negara beralih kepada fasa peralihan endemik pada 1 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Sementara itu, Anthony berkata, pengendali TBS juga telah mengambil langkah-langkah persediaan untuk menampung jumlah penumpang yang tinggi mulai 18 sehingga 22 April ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, TBS menambah jumlah kakitangan serta kaunter tiket dan pertukaran tiket manakala kawalan keselamatan 24 jam oleh unit polis bantuan dipertingkatkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

M Anthony Loke bersama Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan warga kota yang ingin pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri semasa hadir mengadakan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 APRIL 2023.

“Selain itu, pemantauan keselamatan berterusan melalui 623 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan orang awam dan TBS juga telah menambah kakitangan terminal bagi mengawal pengurusan trafik untuk mengawal selia laluan di sekitar terminal,” jelasnya.

Anthony menambah, operasi bersepadu turut diadakan secara bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM di mana pemeriksaan kenderaan dan dokumen dilakukan menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan sepanjang musim perayaan.

Beliau memberitahu, TBS juga mengambil inisiatif untuk memastikan status tiket dan sebarang makluman jadual perjalanan dikemas kini di Sistem Paparan Maklumat Pengguna dan semua saluran media sosial yang ada seperti laman sesawang TBS, Facebook, Instagram dan Twitter.

“TBS turut memperkenalkan konsep tanpa kertas dengan menggunakan Kod QR bagi pembelian atas talian.

“Penumpang hanya perlu mencetak dan boleh terus ke Balai Pelepasan selepas mengimbas Kod QR di pintu kaunter automatik (AGC) bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan pintu masuk utama balai pelepasan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata, setakat ini TBS masih berupaya menampung keperluan penumpang yang menggunakan pengangkutan awam ke pantai timur, utara dan selatan.

“Setakat ini tiada masalah cuma musim perayaan agak sibuk, lebih sesak sedikit,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, Terminal Bersepadu Gombak (TBG) masih dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan.

Sementara itu, Wan Azizah menyatakan kebimbangan terhadap statistik kematian kemalangan jalan raya yang agak tinggi terutamanya melibatkan mangsa berumur antara 15 hingga 40 tahun.

“Saya ingatkan sama-samalah kita hati-hati di jalan raya, bukan sekadar slogan sahaja tetapi mengamalkan,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette