PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengimbas kad perakam waktu untuk kali terakhir pada petang ini bagi mengakhiri perkhidmatannya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 35 tahun.
Hadir pada majlis ‘clock out’ di lobi bangunan KKM pada jam 4.15 petang ialah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalannya, Lukanisman Awang Sauni.
Dr. Noor Hisham bertemu dengan warga KKM yang menunggunya di lobi untuk mengucapkan selamat bersara selain merakamkan gambar sebagai kenangan-kenangan.
Mereka turut menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ sebelum beliau melangkah ke keretanya meninggalkan kementerian itu
Ketika ditanya mengenai perasaan beliau pada hari terakhir di KKM, Dr. Noor Hisham berkata, beliau lega kerana bersara ketika negara dapat mengatasi pandemik Covid-19.
“Covid juga sudah berkurangan. Kita dapat tawan ia dengan baik. Jadi sememangnya saya menunggu masa untuk bersara, saya gembira untuk bersara kini,” katanya.
Terdahulu, ‘panglima perang’ Covid-19 itu mengadakan sesi perjumpaan dengan warga KKM Putrajaya sebelum turun ke lobi bagi sesi ‘clock out’.
Dr. Noor Hisham dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 2013 dan beliau merupakan individu penting ketika negara berdepan penularan virus Covid-19.
Beliau meripakan individu yang memberi keyakinan kepada rakyat menerusi usahanya menyalurkan maklumat mengenai Covid-19.
Dr. Noor Hisham, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19. – MalaysiaGazette