Mek merenung jauh mengenangkan nasib hidupnya di rumah sewa Kampung Batu Karang, dekat Pasir Mas.

PASIR MAS – Ketika orang lain riang berkunjung ke bazar Ramadan memilih juadah berbuka puasa dan malamnya pula mengunjungi kompleks beli belah membeli kuih dan baju raya, namun sesusuk tubuh kecil ini duduk kaku di pintu rumahnya.

Banyak perkara yang membelenggu dan bermain dalam fikiran susuk tubuh berusia 64 tahun ini, lebih lagi di sisinya terbaring kaku zuriat beliau yang menderita sakit diserang angin ahmar.

Begitu besar cabaran hidup dihadapi Sabariah Mohamad ini, yang lebih dikenali dengan panggilan Mek yang tinggal di sebuah rumah hampir runtuh di Kampung Batu Karang, Bukit Tuku, dekat sini.

Anak sulung Mek, Abdullah terlantar sakit diserang strok.

Lebih berat bebannya apabila suami tersayang yang berkongsi hidup bersama lebih 50 tahun lalu telah dijemput Ilahi hampir setahun lalu.

Suaminya, Allahyarham Jusoh Salleh meninggal dunia dalam usia 68 tahun pada ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan akibat penyakit asma, namun sepanjang hayatnya, mereka dikurniakan tujuh anak.

Sejak kehilangan tempat bergantung, hidup Mek mula dirundung kesempitan, tambahan pula anak sulungnya, Abdullah, 47, yang ketika sihatnya turut membantu meringankan beban hidup mereka sekeluarga selepas kematian ayah, tiba-tiba diserang strok sebulan lalu.

Beginilah keadaan tandas yang digunakan Mek sekeluarga, yang terletak di luar rumah.

Kini, Mek berdepan dengan ujian hidup yang agak berat. Enam lagi anaknya, ada yang sudah berkeluarga tidak dapat membantu secara berlebihan kerana mereka juga mempunyai tanggungan hidup.

Anak-anak Mek selain Abdullah, iaitu Mohd Zaki (45 tahun), Azhar (43), Ani (42), Mail (39), Marini (26) dan Mohd Zuki (24), iaitu dua daripada bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

Rumah didiami Mek pula adalah milik jiran dengan sewaan kurang RM100 sebulan, tetapi lama kelamaan, apabila struktur rumah makin hari makin reput dan ada sebahagiannya runtuh, jiran yang baik hati itu tidak lagi mengenakan sewa.

Mereka membenarkan Mek tinggal di rumah itu dan jika ada duit boleh baikinya berperingkat. Namun, Mek tidak pernah berpeluang untuk membaik pulih kediaman itu disebabkan kesempitan hidup.

Apa yang terlintas difikiran Mek ialah mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada orang ramai agar ada yang bermurah hati menghulurkan zink, kayu, papan simen dan sebagainya.

Zink diperlukan untuk mengganti baharu bumbung bocor, kayu dan papan pula untuk tukar dinding serta lantai yang reput, begitu juga simen, pasir serta batu bagi menutupi dinding dapur yang roboh.

Masalah hidup Mek sekeluarga ini mendapat perhatian seorang aktivis masyarakat, Amran Abdul Rahman. Dengan daya usahanya, beliau berjaya mendapatkan sebuah katil untuk kegunaan dan keselesaan Abdullah yang terlantar sakit.

Aktivis masyarakat, Amran meninjau rumah Mek dan banyak membantu meringankan beban hidup Mek sekeluarga.

Lebih malang, menurut Mek, dia tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak, apatah lagi mereka yang bergelar wakil rakyat atau pemimpin masyarakat.

Dia merasakan kehadirannya seperti ditolak oleh golongan berkenaan, kerana bukan sekali atau dua kali membuat permohonan, tetapi entah berapa kali namanya dimasukkan dalam senarai penerima bantuan, namun apa sahaja bentuk bantuan itu tidak pernah sampai ke tangannya.

“Rumah yang Mek duduk anak beranak ini sudah uzur sangat. Rumah ini arwah suami yang sewa dan selepas dia meninggal dunia, pemilik rumah ini benarkan kami tinggal di sini tanpa kenakan sewa.

“Tengoklah keadaan rumah ini. Lantainya sudah reput, zink pula bocor tiris bila hujan dan dinding berlubang terbuka segenap bucu.

“Bilik air tak ada. Tandas pula di luar rumah dalam keadaan robek sana sini dan tunggu nak runtuh,” kata Mek.

Melihat pada matanya, Mek masih menaruh harapan agar hidupnya berubah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Ini sesekali sepanjang hayatnya untuk merasai nikmat yang dirasaikan kebanyakan golongan berada.

Namun, Mek seperti reda dengan keadaan hidupnya yang sudah tentu segala impian dan hajat itu tidak akan kesampaian, melainkan dengan kehendak Allah.

Ditanya, kenapa Mek tidak cari rumah sewa lain, katanya, dia takut tidak mampu bayar sewa dan akan mendatangkan masalah kepada tuan rumah.

“Bukan setakat nak pindah tak mampu, bil elektrik rumah ini pun sudah cecah RM1,000 tunggakan.

Bil letrik tertunggak menyebabkan TNB mengeluarkan notis merah sebagai amaran.

“Namun, hasil kumpul sikit-sikit dari anak dan cucu yang dah bekerja, dapat bayar RM400 dan sekarang masih ada baki tunggakan RM600.

“Mek harap orang api (Tenaga Nasional Berhad) tak datang potong api (letrik). Kalau (meter letrik) kena potong (putuskan bekalan), Mek dan Abdullah duduk dalam gelap,” katanya.

Kepada masyarakat di luar sana yang simpati dengan kesempitan hidup Mek boleh membuat sumbangan dengan menghubungi cucunya, Anita di talian 011-40552632 atau akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Sabariah Mohamad di 03054020471984. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast