karen nazlan
Karen Cheah (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Presiden Badan Peguam, Karen Cheah menegaskan, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dibincangkan di dalam Parlimen.

Memetik laporan FMT, beliau berkata, perbincangan itu tidak sepatutnya berlaku atau diteruskan kerana ia melanggar Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpandangan bahawa menteri, yang juga seorang pengamal undang-undang dan memahami perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya mengingatkan dirinya sendiri tentang hakikat tersebut.

“Beliau juga meruapakan seorang ahli politik berpengalaman. Beliau sepatutnya mampu mengingatkan diri sendiri tentang Perkara 127 dan tidak sepatutnya menjawab soalan-soalan itu,” katanya.

Karen berkata demikian dalam forum bertajuk Public Forum on MACC, the Ex-PM and the Independence of the Judiciary anjuran Badan Peguam di sini, hari ini.

Walaupun beliau tidak menyebut nama menteri terbabit, ia dipercayai merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam sidang Dewan Rakyat 23 Februari lalu, Azalina mendedahkan, laporan SPRM berhubung siasatan terhadap Mohd Nazlan telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri.

Mohd Nazlan yang mengadili kes SRC International di Mahkamah Tinggi didakwa mempunyai konflik kepentingan kerana pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian undang-undang di sebuah bank yang berperanan dalam penubuhan syarikat berkenaan.

Karen menambah, tindakan mana-mana Ahli Parlimen yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat mengenai siasatan tersebut juga dianggap bercanggah dengan Perkara 127.

“Bagi saya, Perkara 127 adalah penting kerana ia bertujuan melindungi integriti dan kebebasan institusi kehakiman.

“Badan eksekutif tidak sepatutnya membangkitkan isu ini di dalam Parlimen kerana ia boleh menjejaskan institusi kehakiman,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Woi sapa kata tak boleh? Perkara 127 menyatakan BOLEH dengan syarat notis usul khas oleh tidak kurang daripada 1/4 ahli parlimen. Pada tahun 2014, usul ini dibawa oleh Pakatan untuk bincang kelakuan hakim yg membicarakan DS Anwar. Rasanya DS Azalina sangat faham dah tidak lah sebangang Presiden Bar Council ni…

Comments are closed.