Mohd. Hairi Mad Shah bersama belia SV di bangunan BSI di program pengagihan bungkusan makanan kepada pekerja barisan hadapan di sekitar bangunan itu.

[videopress C0FRUSHc]

JOHOR BAHRU – Bukan sahaja sentiasa bersedia menghulurkan bantuan ketika musim bencana, pertubuhan Southern Volunteers (SV) yang dimonopoli golongan belia juga prihatin apabila mengedarkan lebih 700 bungkusan makanan kepada pekerja di bahagian hadapan untuk bersahur.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kesungguhan anak muda pertubuhan itu sedia tampil ketika Johor dilanda musibah.

“Alhamdulilah hari ini seperti tahun terdahulu sudah dapat kita lihat golongan belia ini bukan sahaja tampil ketika musibah tetapi mereka turut membantu santuni golongan barisan hadapan.

“Ini juga sebahagian aktiviti SV iaitu belia negeri Johor dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

“Saya boleh katakan SV juga merupakan penggerak utama diberikan sembgat dan kesepakatan untuk kita lakukan aktiviti sebegini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Ibrahim (BSI) hari ini dengan mengedarkan bungkusan makanan kepada pekerja barisan hadapan di situ.

Dalam pada itu, Hairi berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan kekuatan belia-belia SV sepanjang sambutan Aidilfitri sekiranya diperlukan.

“Kita bersedia pada bila-bila masa dan kita ada pengalaman terdahulu. Insyallah jika dibenarkan kami akan sama-sama membantu,” katanya.

Southern Volunteers merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu bagi menerajui aktiviti sukarelawan terutama melibatkan kaum belia di Johor.-MalaysiaGazette