Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan peningkatan kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, situasi semasa itu diambil pada minggu epidemiologi 15 iaitu pada 9 sehingga 15 April lalu.

“Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,399 kes berbanding 2,339 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 60 kes iaitu 2.6 peratus.

“Satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli

Dr. Norhayati berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 33,325 kes berbanding 10,954 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 22,371 (204.2 peratus).

“Sebanyak 21 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding lima kematian bagi tempoh sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 16 kematian.

“Sebanyak 109 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 93 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 59 lokaliti berada di Selangor, 25 di Pulau Pinang, 10 di Sabah, enam di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, empat di Kedah, tiga di Perak, dan masing-masing satu di Sarawak serta Labuan,” katanya.

Gambarajah 1: Perbandingan kes dan kematian demam denggi minggu ke-15 dan ke-14 tahun 2023

Sementara itu, Dr Norhayati turut memaklumkan survelan chikungunya juga merekodkan tiga kes pada minggu ke-15 dengan kesemua kes dari Selangor.

“Jumlah kumulatif kes Chikungunya 2 sehingga kini adalah 117 kes.

“Bagi survelan Zika, sebanyak 795 sampel darah dan empat sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya.

Dr Norhayati turut mengingatkan semua lapisan masyarat agar memastikan kawasan rumah bebas daripada bekas-bekas yang boleh menakung air dan seterusnya menjadi tempat nyamuk.

“Aedes membiak semasa bercuti, lakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah.

“Bersihkan, berus dan simpan bekas-bekas yang masih digunakan.

“Lupuskan barang-barang lusuh seperti baldi, bekas-bekas plastik, tong cat, bekas makanan haiwan dan sebagainya yang terdapat di sekeliling rumah termasuk kawasan lorong belakang rumah,” katanya. – MalaysiaGazette