Gambar hiasan

GUA MUSANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kadar khas bayaran saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik termasuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya bermula hari ini hingga 21 Mei depan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kadar khas itu julung kali dilaksanakan oleh pihak PDRM bagi memberi peluang ke atas saman yang tidak boleh dikompaun untuk diselesaikan.

Beliau berkata, potongan hampir 85 hingga 86 peratus tersebut untuk menzahirkan hasrat kerajaan menyumbang dari segi memberi kemudahan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan dihadapi masyarakat.

“Kita buka semua saman yang sebelum ini kita sekat contoh saman-saman yang tidak boleh dikompaun dan perlu ke mahkamah.

“Kita buka kerana keluhan masyarakat yang jika (saman) disekat tidak boleh dibuat pembaharuan lesen, pembaharuan cukai jalan jadi kita buka supaya masyarakat semua boleh merasai dan dapat kemudahannya,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di laluan alternatif Gua Musang di sini semalam.

Mat Kasim berkata walau bagaimanapun tawaran terbabit tidak sah untuk kes saman yang masih melalui proses perbicaraan di mahkamah.

“Cuma kita sekat hanya kes-kes melibatkan pihak ketiga, contohnya kes dalam perbicaraan yang itu kami tak boleh kerana masih tergantung dengan perbicaraan dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan malah tempoh pembayaran juga diberi sehingga selepas perayaan Aidilfitri.

“Saya mahu tekankan saman yang tidak boleh dikompaun itu perlu diambil kesempatan ini (kerana) sebelum ini tidak pernah (dilaksanakan) dalam sejarah PDRM kerana kami terikat pada peraturan tetapi kerajaan tengok apa yang boleh dibantu, maka kita bantulah sebaik mungkin.

“Janganlah tergesa-gesa untuk membuat pembayaran, sambutlah Aidilfitri dahulu kita bagi sebulan ada masa lagi,” katanya,” katanya. – BERNAMA