KUALA LUMPUR – Sehari sebelum menjelangnya Aidilfitri, warga kota menggunakan peluang di saat-saat akhir hari ini untuk membuat persiapan terakhir membeli bahan mentah seperti ayam, daging dan bahan memasak di pasar.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, Pasar Chow Kit menjadi tumpuan warga kota sejak 6 pagi tadi.
Meskipun bekalan bahan mentah kali ini dilihat mencukupi, namun salah seorang peniaga di situ mendedahkan permintaan ayam tua pada tahun ini melebihi berbanding sebelumnya.
Menurut peniaga ayam dan daging, Rahmat Mohd Ridzuan, stok ayam tua yang dijualnya kini semakin menyusut selepas lebih 200 ekor sudah terjual sejak 6.30 hingga 10.30 pagi tadi.
“Saya jual ayam dan daging, sekarang yang kurang adalah ayam tua. Stok ayam tua sudah habis pelanggan makin ramai dan permintaan ayam tua yang banyak. Harap siapa ada borong nak jual ayam tua bolehlah jual kepada peniaga.
“Bekalan sampai kepada saya awal pagi lagi sebab nak yang segar tapi makin kurang ayam tua mungkin nak guna masak rendang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, pelanggan Zulkarnain Putih, 60, berkata, pasar berkenaan menjadi pilihan utamanya setiap kali sehari sebelum Aidilftiri untuk membeli ayam, daging dan banyak lagi.
Katanya, berdasarkan pemerhatiannya bekalan bahan mentah kali ini mencukupi meskipun harga berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya memang tinggal di kawasan berdekatan, secara tradisinya akan beli ayam, daging sehari sebelum supaya segar.
“Setiap kali raya memang beli bahan mentah di sini harga pun berpatutan berbanding yang lain. Jadi semua persiapan seperti ayam, daging, kambing saya beli di sini.
“Setakat ini bekalan di sini saya lihat cukup tidak ada pelanggan merungut hanya yang mengeluh tentang harga dah berbeza daripada sebelum-sebelum ini,” katanya.
Yati Osman, 52 berkata, beliau sanggup membeli bahan mentah di Pasar Chow Kit setiap tahun meskipun tinggal di Klang Lama.
Jelas beliau, pasar berkenaan lengkap dan memudahkannya membuat persiapan akhir seperti membeli bungkus ketupat, daun kelapa, udang, ikan dan banyak lagi.
“Tiap tahun beli bahan mentah di sini, bila tahu esok dah Hari Raya sehari sebelum akan beli bahan mentah di sini untuk persiapan. Bekalan nampaknya cukup. Beli di sini memang semua ada mudah,” katanya.
Turut temui Marini Mansor, 50 yang berkongsi rasa leganya apabila diumumkan Aidilfitri jatuh pada Sabtu kerana ia memberikan beliau masa yang cukup untuk membuat persiapan akhir membeli bahan mentah untuk dimasak di pagi raya.
“Setakat ini bekalan yang dijual di pasar ini cukup tidak ada yang mengeluh tidak cukup ayam kan. Semua nampak lancar. Lega kali ini bila diumum Sabtu Aidilfitri sebab ada masa nak buat persiapan khususnya beli ayam dan daging kan, tidak kelam kabut,” ujarnya. – MalaysiaGazette