Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid As-Salam, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 21 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis tanggapan negatif pihak-pihak yang mempersoal langkah Kerajaan Perpaduan mahu mengadakan Majlis Rumah Terbuka di tiga negeri ditadbir pembangkang.

Beliau mengatakan, banyak negeri bakal menganjurkan majlis berkenaan dan tidak timbul isu untuk mengadakannya di negeri diterajui pembangkang.

“Negeri banyak semua, Selangor ada. Tak timbul isu buat di negeri pembangkang. Semua negeri buat,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Assalam di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pertikaian bukan sahaja pembangkang malah, netizen turut membangkitkan perkara sama di laman-laman sosial.

Semalam pemimpin pembangkang membuat teguran sinis terhadap Kerajaan Perpaduan yang dikatakan hanya menumpukan negeri-negeri pembangkang untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidifitri.

Rumah terbuka itu akan diadakan bermula 29 April hingga 13 Mac.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fahli Saari membangkitkan penganjuran majlis berkenaan di negeri-negeri ditadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kesemua negeri-negeri berkenaan terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Terdahulu, Anwar selepas menunaikan solat Jumaat menyerahkan Bakul Madani kepada golongan asnaf yang tinggal di kawasan sekitar perumahan di sini.

Beliau kemudiannya bersalaman dan bermesra dengan para jemaah sebelum pulang ke kediamannya di Sungai Long, Hulu Langat. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Bagus ANWAR IBRAHIM ni buat Rumah Terbuka. Biarkan. Harap Pemimpin kerajaan PN jangan buat tak tahu kedatangan ANWAR sudah macam Raja Arab Saudi tidak peduli kedatangan #rasmi SEORANG PERDANA MENTERI. Nasib baik PM itu dilayan budak pejabat yang selalu berurusan di office Raja Arab tu

Comments are closed.