Filem Sumpahan Malam Raya arahan Datuk Dr A Razak Mohaideen

KUALA LUMPUR – Filem genre komedi seram Sumpahan Malam Raya mula menggegarkan dan menghantui lebih 80 pawagam seluruh negara bermula hari ini sempena sambutan Hari Raya esok.

Filem Sumpahan Malam Raya arahan Datuk Dr A Razak Mohaideen itu sebenarnya bukanlah nama asing apatah penghasilan filem bertemakan Aidilfitri setiap kali menjelangnya hari lebaran.

Malah bukan satu rahsia apabila filem raya beliau menjadi pilihan peminat tegar di negara ini apabila mencapai kutipan berjuta-juta ringgit box office, sebagai contoh filem ‘Syif Malam Raya’.

Untuk makluman filem itu telah mengutip kutipan sebanyak lebih RM4 juta dalam tempoh kurang dari dua minggu sahaja ketika era pandemik di tayangan ASTRO First.

Menurut Dr Razak Mohaideen, beliau agak teruja untuk menghasilkan filem-filem bergenrekan tema Aidilfitri kerana sentiasa mahu mempromosi budaya dan perayaan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

“Saya memang kadang-kadang tidak faham mengapa tidak banyak filem bertemakan Hari Raya di hasilkan di negara kita walhal jika anda lihat di negara barat, banyak sahaja filem Krismas ketika menjelangnya sambutan itu. Tidak kisah seram, komedi dan sebagainya.

“Bagaimanapun saya masih lagi teruja untuk terus berikan peminat kita ‘hadiah’ pada bulan Syawal ini penghasilan Sumpahan Malam Raya yang bukan sahaja komedi seram sebaliknya juga membarisi artis-artis hebat veteran sehingga yang terkini.

“Gandingan seperti ini di harapkan juga dapat memberikan pengalaman yang paling ‘best’ dan terindah buat semua, menggamit memori silam dan juga era moden ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya baru-baru ini.

Untuk makluman, ini merupakan filem terbitan produksi Veedu Production milik pasangan suami isteri, Denes Kumar dan TS Dr Vimala Perumal dengan kerjasama MGE Production.

Denes yang berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Razak Mohaideen adalah peluang keemasan yang disifatkan sebagai ‘bulan jatuh ke riba’.

“Nama Professor A Razak cukup tersohor dalam dunia perfileman negara dan tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau juga adalah pelopor genre komedi dengan kutipan pecah panggung.

“Dengan ketibaan Syawal yang amat dinantikan, pastinya filem ini turut sama menyuntik kegembiraan, apatah lagi dengan gabungan elemen komedi dan seram kegemaran ramai,” katanya.

Penerbit Sumpahan Malam Raya, Denes Kumar

Sumpahan Malam Raya membariskan pelakon terkenal seperti Atu Zero, Danial Zaini, Vanidah Imran, Reen Rahim, Nora Danish, Datuk Yusry Abd Halim, Ropie, Saiful Apek, Yassin Yahya, Rita Rudaini, Soo Wincci, Bell Ngasri, Aidilia Hilda, Erin CTJ, Megat Terawis, Khairul Marksnann dan Fye Ramli.

Filem ini mengisahkan tentang Syawal, Tania, Adam dan Misha yang mengusahakan sebuah homestay berhantu dengan pelbagai kejadian pelik yang berlaku menjelang Hari Raya dan mereka semua cuba merungkaikan misteri tersebut satu-persatu. -MalaysiaGazette