KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan perlahan setakat tengahari ini.
Menerusi perkongsian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bergerak perlahan dari arah timur membabitkan Plaza Tol Gombak ke Terowong Genting Sempah.
Di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) pula, trafik bergerak perlahan di Plaza Tol Penawar, manakala, trafik keadaan sama berlaku dari arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu Senai ke Hentian Sebelah Kulai, Plaza Tol Kempas dan Plaza Tol Skudai.
Trafik turut dilihat perlahan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) iaitu dari Bandar Dalam ke Greenwood dan Cheras-Kajang di PGA ke Taman Connaught.
Selain itu, Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), arah utara iaitu Puchong Indah ke Puchong Intan turut mengalami keadaan sama.
Sementara itu, trafik di laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan (E2), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) masih lancar termasuk di sekitar Plaza Tol.
Bagi perjalanan arah utara, trafik di laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan (E1), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Lingkaran Luar Butterworth (LLB) juga masih lancar termasuk lokasi di Plaza Tol.
Trafik juga lancar sepanjang Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di kedua-dua arah.
Justeru, orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – MalaysiaGazette