Sebahagian daripada 45 anak yatim dan asnaf lelaki, perempuan Rumah Kebajikan Al-Firdaus diraikan dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri di Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

KETIKA hadir ke majlis merai dan berbuka puasa dengan anak yatim dan asnaf di Plaza Shah Alam pada minggu kedua Ramadan, penulis tertunggu-tunggu kemunculan anak syurga ini.

Penulis agak hairan, kenapa anak-anak yatim yang dimaksudkan belum sampai lagi, walaupun waktu berbuka puasa tinggal lagi 10 minit.

Ketika itu penulis berbisik kepada wakil penganjur yang berada di sebelah, bertanyakan mana anak yatim dan asnaf, kenapa belum sampai lagi.

Antara anak yatim, asnah Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Denai Alam yang diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Kebetulan yang ada di meja yang siap terhidang juadah berbuka puasa hanya kanak-kanak berusia dari satu hingga lima tahun.

Wakil penganjur itu pun dengan senyum menunjukkan semua kanak-kanak yang berada di meja makan masing-masing itulah anak yatim dan asnaf yang dimaksudkan.

Masya-Allah, tiba-tiba mata penulis berkaca. Tak sangka sama sekali anak sekecil ini sudah bergelar yatim dan ada antaranya asnaf.

Comel-comel, itulah yang terkeluar dari mulut penulis, sambil merenung setiap wajah suci mereka seorang demi seorang.

Mereka ini adalah penghuni Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Dua anak yatim ini diraikan dalam majlis berbuka puasa di Plaza Shah Alam.

Sebenarnya terdapat dua rumah kebajikan ini, iaitu untuk anak yatim perempuan di Denai Alam dan untuk anak yatim lelaki di Klang.

Mereka diasingkan mengikut jantina dan hanya dijaga oleh rumah kebajikan ini sehingga mereka berumur enam tahun.

Sebaik mencecah umur itu, mereka ditempatkan di beberapa rumah kebajikan yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membolehkan anak yatim dan asnaf ini memasuki alam persekolahan.

Menurut Pengurus Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Denai Alam, Nurul Azizah Mohd Nasir, setakat ini seramai 45 anak yatim ditempatkan di dua rumah kebajikan itu.

Katanya, seramai 30 anak yatim perempuan dijaga di Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Denai Alam, manakala 15 anak yatim lelaki ditempatkan di Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Klang.

Selepas berbuka puasa, mereka dibawa ke tingkat bawah Plaza Shah Alam untuk majlis menerima sumbangan dan duit Raya daripada penganjur.

“Selain anak yang kehilangan ibu atau bapa dan dari keluarga miskin, ada juga di kalangan anak yatim ini daripada keluarga yang berantakan.

“Kita akan jaga mereka sehingga mencapai umur enam tahun, selepas itu mereka akan ditempatkan di mana-mana rumah kebajikan untuk meneruskan alam persekolahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di majlis berbuka puasa dan sumbangan di Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Mereka ini diraikan sebuah kedai menjual pakaian bersaiz besar, Bob Rock Clothing (BRC) yang turut menganjurkan kutipan derma serta sumbangan barangan keperluan untuk disalrkan ke Rumah Kebajikan Al-Firdaus ini.

Antara sumbangan dan barangan keperluan yang berjaya dikumpul ialah kewangan, lampin pakai buang saiz S-XL, pakaian harian untuk umur dua hingga enam tahun, berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, sabun basuh baju, syampu kanak-kanak dan tuala.

Ditanya bagaimana mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, Nurul Azizah menyatakan, mereka menyambut sesama sendiri rumah itu.

Wajah-wajah suci anak yang bergelar yatim dan asnaf.

Katanya, ada juga guru yang menjaga rumah kebajikan itu yang sudah berkeluarga membawa pulang anak yatim dan asnaf ini ke rumah masing-masing.

Selain itu turut terkumpul tikar, pelapik lembut berlipat, keperluan makanan harian seperti beras, susu, gula, minyak dan lain-lain, selain bekalan ubat seperti krim ekzema.

Semua sumbangan selain kewangan boleh dihubungi Deen di talian 016-9858197 atau Zuraida 012-3274967, manakala kewangan pula menerusi akaun Maybank 5627 5911 2087 (Pusat Pengurusan Al Firdaus). – MalaysiaGazette