Orang ramai menggunakan LPT pulang ke kampung halaman bagi menyambut kedatangan Aidilfitri ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mulai perlahan kerana pertambahan kenderaan.

Antara aliran trafik yang semakin sibuk setakat 12 tengah hari tadi adalah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS-E1) arah utara iaitu Bertam ke Sg Petani, Perai ke Plaza Tol Sg. Dua, Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru, Ipoh Selatan ke Ipoh Utara, Tapah ke Gopeng, Slim River ke Sungkai dan Hospital Sg Buloh ke Bukit Tagar.

Selain itu, dilaporkan aliran trafik tinggi di PLUS-E1 arah selatan dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Juru AutoCity ke Plaza Tol Juru, Plaza Tol Juru ke Bandar Cassia dan Bukit Berapit ke Kuala Kangsar.

Manakala bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS-E2), aliran trafik perlahan di arah utara dari Yong Peng ke Pagoh, Machap ke Ayer Hitam, Simpang Renggam ke Machap dan Plaza Tol Skudai ke Sedenak manakala arah Selatan dari Bangi ke Nilai, Bandar Ainsdale ke Pedas Linggi dan Ayer Keroh ke Jasin.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memaklumkan, sehingga 12 tengah hari tadi keadaan sama bagi aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah selatan.

Sementara itu, aliran trafik bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur sebelum masuk Plaza Tol Gombak masih perlahan sejak pagi tadi, termasuklah Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Telemong ke Plaza Tol Kuala Terengganu.

Keadaan yang sama juga bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) iaitu dari Greenwood ke Sri Gombak.-MalaysiaGazette